Thursday, September 3, 2009

Anak Bulan

1.0 Dalil Pensyariatan Melihat Hilal

Dalil pada menyatakan bahawa anak bulan itu adalah penentu bagi mengitung waktu kepada manusia.

Firman Allah swt dalam al-Quran, Surah al-Baqarah : ayat 189 :


Yang Bermaksud :Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya Ibadat Haji.


Firman Allah swt lagi dalam surah al-baqarah ayat 184 :

Yang bermaksud : … sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu …


Dalil di atas menunjukkan gesaan Allah swt agar bulan itu diguna pakai sebagai penentu waktu-waktu untuk beribadah samada puasa, haji, dan hari raya.


Sabda nabi saw dalam hadis sohih riwayat imam al-Bukhari :


"صوموا لرويته وافطروا لرويته"

Terjemahan : berpuasalah kamu dengan melihatnya (anak bulan ramadhan) dan berbukalah kamu dengan melihatnya (anak bulan syawal).


2.0 Penentuan anak bulan


Fakta

1. Bulan akan mengelilingi bumi dengan kiraan pusingan 28 hari. Maka bila tiba hari yang ke 29, bulan akan menunggu cahaya daripada matahari untuk melengkapkan kiraan kenampakannya atau tidak.
2. Penentuan ini berdasarkan ijtimak iaitu bulan, bumi dan matahari berada selari di atas satu garisan.
3. Mengikut pengkaji dan ahli-ahli falak malaysia seperti Syeikh Uthman dan Syeikh Tohir Jalaluddin, sekiranya ijtimak berlaku dalam tempoh masa 8 jam sebelum terbenam matahari, insyaallah anak bulan boleh kelihatan.


3.0 Bentuk lakaran kedudukan Hilal Ramadhan dan Syawal 1430


Gambaran Kedudukan Hilal Ramadhan dan syawal 1430 Hijrah







Tuesday, February 24, 2009

Hakikat Khusyuk

Dinyatakan oleh Dr Yusof al-Qardawi dalam kitabnya Fatawa Mua’sirah, bahawa khusyuk itu terbahagi kepada dua bahagian :

  1. KHUSYUK HATI :

Iaitu merasakan pengawasan Allah swt serta kehebatanNya dengan meneliti, menghayati (tadabbur) ayat-ayat al-Quran yang dibaca dan zikir-zikir yang dilafazkan seperti takbir, tasbih dan lain-lainnya. Hal yang demikian itu, akan menyebabkan seseorang itu benar-benar merasakan ia berada di hadapan Allah swt.

  1. KHUSYUK ANGGOTA

Khusyuk anggota pula merupakan pelengkap dan manifestasi daripada kekhusyukan hati seseorang yang sedang solat. Sebagaimana dinyatakan dalam sebuat athar :

" لَو خَشَعَ قَلبُ هَذَا لَخَشَعَت جَوَارِحُه "

“Jika khusyuk hati ini, maka khusyuklah anggotanya “

Khusyuk anggota yang dimaksudkan ialah tidak berpaling, bergerak-gerak yang banyak, yang bukan daripada perbuatan solat, yang boleh menghilangkan kekhusyukan solat, sehingga dilihat tiada beza dengan keadaan orang yang di luar solatnya. Menurut para ulamak dalam menghuraikan athar di atas, ia ditujukan khas kepada orang yang kerap lalai dalam solat .


Bagaimana Mendapatkan Khusyuk :

  1. Al-Tafahhum : Memahami semua bacaan di dalam solat dan menghayati maknanya.
  2. Al-Takzim : Merasakan kebesaran Allah seolah-olah anda berada dihadapanNya
  3. Al-Haibah : Menghadirkan rasa gerun terhadap kekuasaan Allah, dengan demikian rasa hebat terhadap Allah akan dapat dihasilkan
  4. Al-Rajak : Mengharapkan rahmat Allah dengan sepenuh harapan bahawa ibadat anda akan diterima.
  5. Al-Hayak : Berasa malu kepada Allah kerana kecuaian dalam mengotakan janji kita terhadapNya dan kekurangan kita melakukan ibadat terhadapNya.

Saturday, June 21, 2008

Nilai Pengorbanan Muslim

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Dalam kehidupan ini, setiap insan perlu dan semestinya melakukan pengorbanan. Ibubapa bekorban membanting tulang empat kerat untuk memastikan anak-anak dapat kehidupan yang selesa. Para pendidik jua perlu bekorban untuk memastikan anak watan mendapat didikan yang cemerlang. A'lim ulamak perlu bekorban agar umat Islam mendapat cahaya pertunjuk yang benar. Pemimpin negara perlu bekorban agar rakyat terpelihara, negara aman dan harmoni.

Mulut berkata memang cukup senang, tapi melakukanya belum tentu semudah apa yang diperkatakan.

Mungkin, kita pernah mendengar cakap-cakap orang yang ingin, atau menyeru kepada melakukan pengorbanan seperti ini :

1) "sayang! abang sanggup bekorban apa saja untuk sayang, asal sayang menjadi isteri abang"... "Abang! jangan tinggalkan ayang, ayang sanggup buat apa saja asal kita dapat bersama sehidup semati"...

Wah!!! manis kata-kata orang bercintan-cintun.

2)"Rakyat juga perlu bekorban, bukan mengharap subsidi dari kerajaan sajer, negara kita boleh bankrup kalau asyik bagi subsidi...Kerajaan dah banyak bekorban untuk rakyat, subsidi minyak, makanan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain... rakyat juga kena ler bekorban..."... " ubah gaya hidup..."

emm... tekanan semasa untuk mewujudkan situasi menang-menang.

3)"lihat apa yang berlaku di Palestin, Lubnan, Iraq... apa pengorbanan kita untuk mereka? mereka saudara-mara seakidah, seagama dengan kita... tapi apa kita buat?... kita sibuk dengan harta dunia, kekayaan dunia, pangkat dunia, langsung tak pikir tentang umat islam yang ditindas... apa pengorbanan kita???... "

subhanaallah... takbir... Allahuakhbar!!!

Pengorbanan yang pertama, belum pasti keikhlasannya. bak kata orang tua-tua ada benarnya " itu ayat mula-mula memikat jer... orang lelaki biasalah (not me) takut-takut nanti, habis madu sepah dibuang"... kalau yang perempuannya pula bukan boleh percaya sangat, habis yang hendak dikikisnya, good bye lah jawapnya, silap-silap gaya pisau-pisau cukur pun dirembatnya..." - ini pengorbanan tahi minyak

Pengorbanan yang kedua, ada betul, kita perlu sama-sama bekorban. Hidup secara berjimat cermat. Ubah gaya hidup yang lebih sederhana. Tapi, persoalan yang timbul, kenapa pengorbanan yang diminta tidak seimbang, tidak wujud apa yang dikatakan menag-menang. Rakyat bekorban 40%, kerajaan bekorban 10 %. Ini tidak adil.

Pengorbanan yang ketiga membawa kita supaya insaf dan lebih kepada memberi kesedaran, namun hakikatnya, tidak semua yang melaungkan kata-kata semangat seperti itu mampu berjihad seperti apa yang berlaku secara realitinya di Iraq, Palestin, Lubnan dan lain-lainnya.

Nilai pengorbanan seorang muslim mukmin bukan dapat kita gambarkan dengan cerita dan tayangan. Namun pengorbanan itu dengan bukti dan pelaksanaan.

Pengorbanan menginfakkan diri, harta, dan sebagainya kepada perjuangan islam merupakan pengorbanan yang sangat berharga dan besar nilaiannya disisi Allah swt.

Almarhumah Zainab Al-Ghazali sebagai contoh tauladan yang boleh kita sanjungi dan hayati pengorbanannya dalam berjuang menegakkan islam. Keberanian, kecekalan, kekentalan, kekuatan beliau dalam menghadapi musuh rejim kepimpinan zalim mesir sangat hebat. Beliau di anggap perempuan yang setanding dengan 1000 lelaki. Pengorbanan yang beliau berikan untuk memastikan islam ditempat yang tinggi sukar untuk kita gambarkan dengan bacaan dan pendengaran. Realitinya kita perlu hadapi dan merasai, barulah kita akan dapat menghayati pengorbanan beliau.

Tokoh tanah air Malaysia yang juga tidak kurang hebat berjuang dan bekorban demi negara dan agama seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Dol Said, Panglima Salleh dan lain-lain lagi.

hakikatnya, pengorbanan untuk Islam ini bukan suatu perkara yang mudah untuk dilaksanankan. Namun latihan, pentarbiyahan perlu dibentuk agar andai suatu hari nanti kita dituntut melakukan pengorbanan seperti para perjuang terdahulu, kita mampu melaksanakan dengan baik dan hati yang terbuka.

Waallahua'lam..

Wednesday, June 11, 2008

Nilai Masa Muslim

Masa adalah Harta Paling Berharga Yang Anda Miliki

Jika kita ditanya apakah harta yang paling bernilai yang kita miliki, pasti kita akan menjawab beberapa jawapan seperti wang, anak keturunan, perniagaan, kecantikan, kepandaian mahupun kesihatan. Kita boleh sahaja menjawabnya akan tetapi jauh di hati kita ia bukanlah yang termahal dan tertinggi nilainya. Kesemuanya tidak sama nilai dengan nilai masa kita. Jadi benarlah masa adalah sesuatu yang paling bernilai bagi kita umat Muhammad setelah Islam.

Bersediakah kita untuk memahami betapa pentingnya masa untuk kita khususnya kaum Muslimin? Kerana umat yang dalam kemerosotan dan penindasan seperti kita ini tidak tegar memelihara masa meskipun keadaan mereka adalah umpama telur di hujung tanduk dan hanya retak menanti belah. Semestinya kita mengetahui bahawa masa adalah anugerah adil yang dikurniakan Allah swt kepada makhluknya. Sesiapa yang bersyukur yakni dengan menggunakan sesungguhnya maka Allah akan tambahkan nikmatNya, tapi barangsiapa engkar maka azab Allah amatlah pedih.

Jadilah Umat Terbaik

Tatkala kita membaca al-Quran, kita akan dapati bahawa Allah sering bersumpah dengan masa. Dan Tuhan sememangnya tidak akan bersumpah melainkan sesuatu itu penting dan mempunyai nilai berharga. Allah swt berfirman;

Demi malam apabila menutupi (cahaya siang) dan siang apabila terang benderang.” (al-Lail:1-2)



Demi waktu Dhuha dan demi malam apabila telah sunyi.” (adh-Dhuha:1-2)



Demi fajar dan malam yang sepuluh.” (al-Fajr:1-2)



Demi matahari dan cahayanya di pagi hari dan bulan apabila mengirinya.” (asy-Syams:1-2)



Demi masa.” (al-Ashr:1)



Maka sesungguhnya Aku bersumpah dengan cahaya merah di waktu senja.” (al-Insyiqaq:16)

Apakah yang menarik disebalik masa-masa ini hinggakan Allah bersumpah dengannya. Berbalik kepada tujuan al-Quran diturunkan, maka Allah menginginkan kita supaya memerhatikan perkara-perkara ini agar mendapat pengajaran. Begitu banyak sumpahNya berkaitan dengan waktu.

Maka umat yang tidak mengenal harga nilai masa tidak akan menjadi umat yang maju dan berjaya. Ketika kita membaca,”Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia,” hati kita pasti terkesan dengan sebutan umat terbaik akan tetapi keadaannya sungguh sangat menyedihkan.

Pada asasnya, sesuatu umat akan menjadi terbaik dan berjaya hanya jika mampu memanfaatkan kurnia Allah sebaik-baiknya dan tidak menyalahgunakannya. Maka apatah lagi bagi kita umat Islam. Dapatkah kita memahami betapa pentingnya masa yang sering kita sia-siakan?

Islam Sangat Menghargai Masa

Tahukah kita agama kita ini sangat menitikberatkan masa. Renungkanlah hadith al-Musthafa saw tentang amal yang disukai Allah. “Wahai Rasulullah, apakah perbuatan yang paling disukai Allah? Baginda menjawab,” Solat tepat pada waktunya.” (HR Muslim). Kemudian perhatikanlah pula ayat berikut;

Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman.” (an-Nisa:103)

Lihatlah pula puasa, haji, zakat dan lain-lain lagi. Kesemuanya mempunyai masa dan had yang telah ditentukan.

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (yaitu) dalam beberapa hari yang tertentu.(al-Baqarah: 183-184)

(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi.” (al-Baqarah:197)

Mereka Memahaminya.

Penemuan pertama kaum Muslimin awal masa keemasannya adalah jam. Pada waktu itu mereka mengembangkan dan meletakkannya ditempat umum dan diruang-ruang istana. Mereka begitu membanggakannya. Mengapa? Sungguh mereka berjaya kerana memerhatikan masa. Sungguh agung umat ini.

Namun kini kita tidak begitu. Seorang yang taat beragama sepatutnya menghargai waktu dalam kehidupannya. Apatah lagi duah yang mengajak manusia ke arah perjuangan Islam. Kisah berikut merupakan kisah benar yang berlaku kepada seorang tokoh Muslim yang berjumpa dengan warga asing. Muslim itu terlambat beberapa minit.

“Anda muslim?” tanya warga asing tersebut.

“Ya.”

“Anda solat?” tanyanya lagi.

“Ya.”

“Berpuasa pada bulan Ramadhan?”

“Ya.”

“Anda sudah menunaikan haji?”

“Ya, tentu.”

“Anda solat Jumaat tepat waktu?

“Sudah tentu.”

“Sungguh aneh orang-orang Islam. Agama mereka mengajarkan prinsip-prinsip agung, sayang mereka tidak mengendahkannya.”

Kisah ini menggoncang jiwa kita jika kita memahaminya. Seolah-olah mereka menyindir kita, anda agungkan agama tetapi sebenarnya anda bukanlah pemeluk agama yang taat kerana tidak menghargai ajaran agama.

Bagaimana dengan kita? Sudahkah kita bersedia menghargai masa kita, wahai umat Islam?

Ke Mana Masa Muda Kita?

Renungkanlah hadith Rasulullah saw! “Pada hari kiamat tidak seorangpun hamba diperkenankan meninggalkan posisinya kecuali ditanya lima perkara. Tentang penggunaan umurnya, masa mudanya, kekayaannya dari mana dia peroleh dan untuk apa digunakan dan apa yang dilakukan terhadap ilmunya.” (HR Tirmidzi :2416)

Masa muda mendapat tempat khusus dalam hadith diatas. Meskipun umur sudah disebutkan, namun masa muda dikhususkan sekali lagi. Tentunya ada beberapa sebab. Pertama, masa tersebut begitu penting. Kedua, begitu banyak orang membazirkan masa tersebut. Maka masa muda disebutkan secara khusus.

Maka para pemuda, kemanakah masa kita dihabiskan? Apakah dengan menonton televisyen berjam-jam, atau melayari internet berkurun-kurun? Atau berpeleseran di jalanan dan mengganggu orang-orang dijalanan? Atau membaca buku-buku tidak berfaedah, kartun, komik, atau filem yang tidak pernah habis?

Andainya setiap nafas kita dikumpulkan ke dalam setiap kotak. Maka di hari perhitungan dibuka semua kotak nafas kita itu satu persatu. Kotak pertama kosong. Kotak kedua kosong. Kotak ketiga berisi percakapan yang sia-sia. Kotak keempat berisi fitnah, umpat dan caci maki. Maka manakah amal yang boleh kita banggakan di depan Allah swt?!

Akan tetapi lain hal jika kotak yang pertama berisi bacaan al-Quran. Kotak kedua hafazan kitab Allah dan hadith. Kotak ketiga syarahan menyedarkan manusia. Kotak keempat amal perjuangan Islam yang ikhlas. Kotak keempat pula berisi nafas keletihan berjuang di jalan Allah. Maka inilah yang boleh kita banggakan didepan Allah swt.

Membazir Masa adalah Maksiat.

Tidakkah kita sedari pembaziran waktu adalah maksiat yang besar. Pembazir ini saudaranya syaitan dan mengikuti jejak langkahnya. Mereka yang menghabiskan masa berjam-jam duduk di café bersembang dan hanya menghirup secawan teh dan sebatang rokok adalah melakukan maksiat yang tidak disedari. Masakan kita boleh berehat sedangkan keadaan umat begitu mendesak! Hampir sahaja sampai ajal mereka ditimpa malang bertimpa-timpa.

Apabila kita bertanya apa yang mereka lakukan dan mereka menjawab; “Menghabiskan masa….” atau “Saja-saja rileks berehat“. Sebenarnya waktu adalah kehidupan. Mereka yang menyiakan waktu sebenarnya sedang membunuh diri sendiri secara perlahan. Andainya masa itu emas maka ia boleh dibeli dengan wang. Akan tetapi masa adalah kehidupan dan kehidupan tidak boleh diperjualbelikan. Tiada siapa mahu menjual kehidupannya.

Semangat Membara…Memindahkan Gunung!

Titipkan semangat Ibnul Jauzi ketika temannya berkata padanya; ” Marilah kita sejenak bersembang santai;”

“Kalau begitu, hentikanlah matahari untuk sementara waktu,’ jawab Ibnul Jauzi.

Juga bagaimana Ibnu ‘Aqil yang menulis buku “al-Funun” dengan jumlah 800 jilid dan merupakan buku yang paling besar sejak Nabi Adam dan mungkin sampai hari kiamat. Beliau berkata;” Meskipun usiaku sudah 80 tahun, namun aku masih memiliki semangat, kegigihan dan keinginan untuk memanfaatkan masaku seperti aku berusia 20 tahun.”

Oleh kerana peribadi ulama dan manusia sebegini, umat masih tetap bertahan ratusan tahun lamanya memimpin dunia dan menerangi gelapnya. Dan kita hanya mampu berkata,” Ini sesuatu yang luar biasa! Siapa yang sanggup melakukannya?!

Maka anda tidak harus melakukannya. Sekali-kali tidak. Tapi anda perlu menghabiskan masa anda sia-sia. Anda tidak harus duduk santai di kedai, café beberapa jam hanya untuk sekadar makan. Anda tidak harus meluang masa menonton telenovela dan drama. Anda tidak harus duduk bersembang perkara tidak berguna. Anda tidak harus menantikan bola yang disepak ke sana ke mari masuk ke dalam gol. Anda tidak harus bersolek di depan cermin seolah tiada hari esok. Anda tidak harus berpeleseran untuk window shopping di pasaraya dan mall. Anda tidak harus membicarakan artis itu memakai pakaian fesyen apa dan dengan siapa dia bercinta. Anda tidak harus buat begitu. Andai sahaja anda memahaminya, cukup untuk membuatkan umat ini berjaya.

Jika hal-hal itu kita lakukan kemudian kita bersedih dengan nasib umat, kita menghina saudara seIslam kita. Kemudian kita berseronok kembali. Maka insafilah diri kita!

Bangkitlah dari kekeliruan dahulu kepada kesempurnaan Islam. Pergunalah masa. Susunlah kerja dan tugasan. Letakkanlah mana yang utama atas yang lain. Semua manusia diberikan 24 jam akan tetapi kenapa ada yang berjaya dan ada yang tidak. Ada yang kaya dan ada yang tidak. Dan juga ada ke syurga dan ada ke neraka? Maka itu bergantung pada pemanfaatan masa kita. Manfaatkan masa muda kita sebelum menjadi tua. Sebelum tua menjadi lebih tua. Berapa ramai yang selalu menyesal tidak beribadah di waktu mudanya dan kemudian menangis kesal. Betapa ramai yang tidak memakai hijab di waktu mudanya dan kemudian meraung takut kesal kerana dosa yang dilakukan. Betapa ramai merasa rugi di waktu umurnya sedang dia tidak mampu untuk sujud dan rukuk sebanyak orang muda. Maka perhatikanlah ini wahai Ulul Albab!

Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang memanfaatkan masa dan kehidupan kami dan raihkanlah kemenangan umat Islam di atas usaha kami.

Hasbunallahu wa nikmal wakil